Mohd. Fiqri lahir tanpa salur najis

Tempoh sembilan bulan 10 hari bagi Faridah Mohd. Nor, 27, dirasakan terlalu singkat kerana begitu teruja dan tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi dalam kandungannya.

Lebih teruja kandungan tersebut disahkan oleh doktor adalah bayi lelaki yang sememangnya dinanti-nanti oleh keluarga Faridah setelah sebelum ini hanya dikurniakan anak perempuan.

Namun siapa sangka panas yang diharapkan hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ibu muda itu diberi dugaan besar apabila bayi lelaki yang comel dilahirkan tanpa dubur dan mengalami masalah usus

"Jantung saya bagaikan terhenti apabila doktor mengesahkan bayi yang baru lahir itu mempunyai masalah usus yang menyebabkan dia tidak boleh membuang air besar.

"Ketika itu pelbagai perkara bermain di fikiran saya. Lebih tertekan apabila memikirkan masa depannya.

"Sebagai ibu pastinya saya sedih melihat keadaan anak saya sebegitu tambahan pula dia anak lelaki pertama dalam keluarga kami,'' ujar ibu muda dari Kampung Tok Randok, Ajil, Terengganu ini.

Membesar sebagai kanak-kanak yang tidak mempunyai dubur, Mohd. Fiqri Izwan, yang kini berusia empat tahun, tidak boleh membuang air besar secara normal. Ini membuatkan perutnya besar membusung.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk menjalani beberapa pembedahan dan mendapatkan rawatan secara tradisional. Namun, keadaan kanak-kanak itu masih tidak berubah.

"Tidak sanggup rasanya terus-terusan melihat penderitaannya. Kalaulah boleh ditukar keperitan saya sanggup menggantikan diri saya sebagai galang-gantinya,

"Setiap kali sembahyang, saya selalu berdoa semoga dipermudahkan urusan Mohd. Fiqri dan moga dia diberikan kesihatan yang lebih baik seterusnya dapat menjalani kehidupan yang normal seperti kanak-kanak lain.

"Sebagai ibu, saya juga mahu melihat anak saya seperti kanak-kanak yang lain yang ceria dan bergerak cergas,'' ujarnya yang tetap yakin segala yang berlaku adalah ketentuan Maha Esa dan ada hikmahnya.

Kini menurut Faridah, anak kecilnya itu masih mendapatkan rawatan susulan dari semasa ke semasa di Hospital Besar Kota Bharu.

Kos untuk berulang-alik ke hospital sedikit sebanyak memberi tekanan kepada ekonomi keluarga memandangkan suami Faridah hanya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM600 sebulan.
"Kehidupan kami terbeban kerana perlu memba
yar sewa rumah dan perbelanjaan dua lagi anak kami,'' ujar Faridah.

Malah doktor juga menyarankan supaya Mohd. Fiqri diberi minuman kesihatan bagi memudahkan proses penghadaman.

"Memandangkan kami kesempitan wang, saya hanya menggantikan minuman kesihatan itu dengan air sirap atau teh sahaja,'' ceritanya.

Bagaimanapun keperitan yang ditanggung oleh anak keduanya itu diketahui oleh Yakult, jenama minuman kesihatan yang bersetuju untuk menyumbang bagi membantu anaknya itu.

Ceritanya lagi, kini Mohd. Fiqri banyak bergantung kepada minuman kesihatan itu dan kesihatannya juga bertambah baik serta dapat membuang air besar.

"Saya bersyukur sangat, doa saya selama ini dimakbulkan, malah kesihatan anak saya ini semakin baik,'' ujarnya dengan rasa syukur.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More