Kok Chi harap tuah iringi Chong Wei

WEMBLEY Arena yang menjadi gelanggang acara badminton Olimpik London 2012, bukan gelanggang bertuah mana-mana pemain untuk merangkul emas bagi perseorangan lelaki, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.
Malah katanya, gelanggang yang mempunyai kapasiti 12,500 tempat duduk itu mungkin menjadi medan neutral bagi pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan musuh ketatnya Lin Dan dari China, kerana kebanyakan kejohanan badminton di United Kingdom selama ini berlangsung di Birmingham.


“Ya, Lin Dan menumpaskan Chong Wei pada Kejohanan Dunia 2011 di Wembley Arena, tetapi Lin Dan terpaksa bertarung tiga set untuk menundukkan jaguh Malaysia itu. Saya harap Chong Wei berupaya menterbalikkan keputusan itu jika kedua-dua mereka bertemu pada saingan akhir perseorang lelaki Olimpik tahun depan,” katanya kepada Bernama.


Lin Dan menundukkan Chong Wei 20-22, 21-14, 23-21 ketika pertemuan Kejohanan Dunia itu.


Wembley Arena yang dibina pada 1934 dan diubah suai pada 2006, terkenal sebagai venue konsert antarabangsa namun akan diubah menjadi medan acara badminton dan gimnastik berirama pada Olimpik London 2012.



Olimpik musim panas itu akan diadakan di bandar raya London dari 27 Julai hingga 12 Ogos depan.



Mengulas lanjut, Sieh berkata di atas kertas, Lin Dan mempunyai kelebihan selepas menjuarai Kejohanan Dunia 2011 di venue olimpik itu, namun tekanan menjadi pemain pilihan mungkin meninggalkan kesan kepadanya.


Beliau memberi contoh kejayaan pemain Indonesia, Taufik Hidayat memenangi perseorangan lelaki pada Olimpik Athens 2004, sekalipun pemain pilihan ialah Peter Gade dari Denmark.


Jaguh Indonesia itu menewaskan Peter Gade pada saingan suku akhir sebelum menundukkan Shon Seung-mo dari Korea Selatan 15-8, 15-7 untuk meraih emas

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More