Pengkritik AS puji Yuna

SELEPAS mendapat pujian daripada penulis blog terkenal Hollywood, Perez Hilton dan Billboard.com, bakat Yunalis Zarai atau Yuna mula menjadi perhatian peminat muzik Amerika Syarikat (AS).
Karya asal Nirvana, Come As You Are yang dinyanyikan dan digubah semula Yuna mendapat kritikan positif dan sekali gus menjadi pembuka ruang untuk bintang muda kelahiran Alor Setar, Kedah ini untuk mencipta nama di AS. 

Bukan itu saja, terbaru Yuna diberikan penghormatan untuk menjayakan persembahan MTV Iggy’s Best New Band Concert di Times Square, New York. 

Sebelum ini, tiada siapa pernah terfikir akan ada anak tempatan, tampil di tengah-tengah mercu tanda kota metropolitan AS bagi mengadakan persembahan. Yuna menjadikan mimpi kita satu kenyataan.




Persembahan terbabit turut disiarkan di seluruh dunia dan maklum balas diterima menerusi berita yang disiarkan MTV sendiri menerusi laman webnya.


Lebih istimewa, pada persembahan itu Yuna turut mendendangkan lagu Decorate yang dipetik daripada album sulungnya untuk pasaran AS, Live Your Life dan lagu yang mengangkat namanya di AS, Come As You Are. 

Bagi Yuna sendiri, persembahan yang dilakukan memberi ruang untuk dia mengetengahkan bakat anak Malaysia. 

Dalam temu bual dengan media di sana, Yuna menjelaskan apa yang berlaku dalam kerjaya seninya dianggap sangat menarik berdasarkan sambutan yang diterima. 

“Tidak dinafikan pada peringkat awal, saya bimbang kerana saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan mengenai diri dan muzik yang cuba diketengahkan. Sebelum ini saya mengadakan persembahan jelajah bersama Raphael Saadiq (nama asalnya Charles Ray Wiggins, penyanyi dan komposer yang pernah menghasilkan lagu untuk TLC, Joss Stone, Mary J Blige dan John Legend) di Atlanta, Virginia dan Philadelphia. 

“Ia satu pengalaman cukup menyeronokkan dan menarik apabila ramai yang datang kepada saya bertanyakan genre muzik saya hasilkan dan kemudian membeli album,” katanya. 

Kata Yuna lagi, dia gembira apabila mengetahui sebahagian besar peminat setia Raphael Saadiq suka dengan apa yang dipersembahkan. Malah tidak kurang ada yang memuji lagu dicipta iaitu Decorate. 

Yuna turut ditanya mengenai idea dia boleh terlintas merakamkan kembali Come As You Are dengan gubahan sendiri dan digemari ramai. Malah pengkritik muzik di AS sendiri rata-rata memuji usaha Yuna. 

Menjelaskan mengenainya kata Yuna, perkara itu berupa sesuatu yang ingin dilakukan sejak dulu, tetapi hanya sekadar untuk suka-suka dan menjadi koleksi peribadi. 

“Waktu itu saya berada di studio bersama rakan pemuzik lain. Kami sedang ‘jamming’ dan pemain gitar saya sedang memainkan lagu Come As You Are. Saya terfikir mengapa tidak kami lakukan ‘cover version’ dengan cita rasa sendiri. Lagipun kami semua memang peminat Nirvana. Saya tahu lirik dan lagunya dan kami semua sangat mengenali lagu terbabit. 

“Untuk memberikan nafas baru kami cuba menghasilkannya dengan sentuhan berbeza, tetapi melodinya dikekalkan. Ia agak romantis, lebih lembut berbanding versi asal. Puas hati dengan gubahan dibuat kami merakamkannya. Pelbagai maklum balas diterima membabitkan usaha dibuat. Bagaimanapun saya hargai apabila ramai mendengarkannya,” katanya. 

Februari depan, Yuna akan melancarkan album yang dihasilkan di bawah The Fader Label, syarikat rakaman beroperasi sepenuhnya di negara kelahiran Michael Jackson itu dan akan turut mengadakan persembahan jelajah. 

Paling menarik apabila dalam album itu, Yuna bergabung dengan penyanyi dan produser terkenal Pharell yang diibaratkan sebagai mimpi menjadi kenyataan.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More