Pertandingan realiti lawak yang sedang hangat ketika ini Maharaja Lawak Mega (MLM) semakin menghampiri penamatnya. Kini hanya tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum kita mengetahui siapakah yang bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM350,000 selaku juara.
Setelah lapan minggu bersiaran yang pada permulaan 17 peserta terlibat, kini hanya tinggal lima sahaja yang masih bersaing dalam peringkat separuh akhir iaitu Syok, Saehu, Boboi, Osbon dan juga Pimai.
Pada MLM yang lalu, dua peserta yang dilihat kukuh kedudukan mereka pada awal pertandingan tersingkir selepas mendapat undian terendah oleh para juri dan juga penonton.
Kedua-duanya ialah peserta solo terakhir, Adlin Aman Ramlie dan kumpulan Bawal Power (BP) yang dianggotai oleh Bob Kuman dan Sobri Anuar.
Mereka yang mengikuti pertandingan itu pasti menyedari isu yang timbul berkaitan Sobri apabila dikatakan 'mempermain-mainkan' seorang penyanyi yang popular sekitar tahun 1980-an, Zaiton Sameon.
Menariknya, pada MLM lalu yang bersiaran secara langsung di Astro Warna, Sobri berkesempatan memberikan sejambak bunga sebagai tanda meminta maaf kepada penyanyi tersebut yang hadir menonton rancangan itu.
Sobri yang ditemui pada sidang akhbar sejurus pertandingan itu tamat berkata, dia tidak pernah berniat untuk mempermain-mainkan penyanyi tersebut.
"Saya telah menemui Zaiton untuk meminta maaf secara peribadi kepadanya sekiranya perbuatan saya itu mengguris perasaannya dan juga ahli keluarganya.
"Sebagai orang lama dalam industri ini, dia terima permohonan maaf daripada saya secara baik dan sejujurnya, antara kami memang tiada masalah," katanya yang lega setelah tersingkir daripada MLM akibat daripada segala isu yang timbul.
Walaupun menyatakan perasaan lega, tetapi dia juga sedikit kecewa kerana tidak dapat menjadi seorang pelawak yang lebih kelakar kerana niat utamanya menyertai pertandingan itu adalah bagi membantu kawannya, Bob Kuman.
"Bagi pihak saya, saya merasa lega tetapi saya kecewa kerana tidak dapat membantu Bob untuk pergi lebih jauh dalam pertandingan ini.
"Walaupun begitu, saya tetap berasa bangga dan bersyukur kerana berjaya sampai hingga ke peringkat ini. Apatah lagi berpeluang berkongsi pentas bersama dengan ramai orang-orang lama dalam bidang ini," katanya.
Apabila ditanya apakah yang bermain di fikirannya semasa mula timbul idea untuk membawakan watak Eton Malaun itu, Sobri berkata, mungkin dia terpengaruh dengan komedi-komedi yang kebanyakannya berasal dari barat.
"Saya membesar dengan melihat komedi-komedi dari barat, sedikit sebanyak ia mempengaruhi tindakan saya dalam isu ini.
"Watak Eton Malaun sebenarnya adalah peminat setia kepada penyanyi itu dan bukannya menjurus kepada penyanyi tersebut secara langsung.
"Saya ingin cuba memberi kelainan dalam bidang komedi tempatan. Tetapi kini saya tahu, apa yang saya lakukan itu tidak sepatutnya kerana walaupun dalam bidang jenaka, kita tidak sepatutnya mempermain-mainkan perkara yang boleh mengguris perasaan pihak lain.
"Saya telah banyak belajar melalui pengalaman menyertai pertandingan ini dan saya yakin ia akan membantu saya untuk menjadi seorang seniman yang lebih baik di masa akan datang," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment