Seorang pengurus spa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warganegara Indonesia dengan memaksa mereka bekerja sebagai pelacur, dua minggu lepas.
Phang Chee Kung, 56, dari Cheras didakwa memperdagangkan Sonia, 24, dan Endang Sekerayu, 22, bagi tujuan eksploitasi di hadapan bilik No 210, Hotel Golden Asean di No 520-522 Jalan Pudu, Dang Wangi di sini pada 7.05 petang, 7 Disember lepas.
Tertuduh yang ditangkap pada hari yang sama, didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh didenda, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Chee Kung yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta memerlukan rawatan lanjut.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.
Rakan lelaki Chee Kung membayar wang jaminan itu.
0 comments:
Post a Comment