CINTANYA pada skuasy mula berputik sejak berusia lima tahun dan pingat pertama yang berjaya dirangkulnya adalah apabila mendapat perak selepas mewakili negerinya dalam kategori Bawah 14 tahun Kejohanan Junior Pulau Pinang.
Sejak daripada itu, anak jati kelahiran Pulau Pinang, Datuk Nicol Ann David tidak menoleh ke belakang lagi hingga dia berjaya melakar sejarah baru skuasy wanita dunia apabila merangkul gelaran Terbuka Dunia selama enam kali sekali gus meleburkan rekod lima kali yang dipegang legenda Australia, Sarah Fitz Gerald.
Selain gelaran dunia, Nicol turut memenangi kejuaraan Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (Wispa) sebanyak 56 kali.
Walaupun susuk tubuhnya kecil berbanding pemain negara lain, kelibatnya di gelanggang pasti membuatkan lawannya kecut perut dan rata-rata daripada mereka menanam azam untuk menewaskannya.
Namun, Nicol tidak akan membiarkan ‘musuh’ menguasainya dengan semangat serta azam yang kuat menjadi aset penting kepadanya untuk memenangi setiap perlawanan.
Keazaman dan semangat kuat Nicol setiap kali membawa nama negara itulah yang menjadi pendorong buatnya sehingga dia digeruni pihak lawan setiap kali turun ke gelanggang.
Menyingkap kembali perjalanan kariernya, nama Nicol mula menjadi tumpuan ketika usianya menjangkau 11 tahun apabila berjaya meraih dua gelaran antarabangsa Terbuka Hong Kong Bawah 13 tahun dan Terbuka Junior Scotland Bawah 12 tahun.
Nicol juga pernah dinobatkan sebagai pemain perempuan termuda yang menjadi juara dunia remaja selepas menjuarai Kejohanan Skuasy Junior Sedunia Wanita 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.
Apa yang menariknya, dia menumpaskan tiga orang pemain yang berada dalam tangga 20 teratas dalam kejohanan itu selain turut berjaya mempertahankan gelaran itu di Pulau Pinang pada 2001.
Pada tahun 1999, Nicol semakin rancak menjuarai kejohanan remaja utama termasuk Terbuka Junior British (Bawah 17 tahun), Terbuka Junior Jerman (Bawah19 tahun), Sukan Sea (individu dan berpasukan) dan Juara Junior Asia untuk acara individu dan pasukan.
Nicol melakar kejayaan terbesarnya sebagai jaguh remaja di Kejohanan Junior Sedunia di Antwerp, selepas menewaskan rakan senegara, Leong Siu Lynn di pusingan akhir acara perseorangan wanita.
Selain itu, Nicol juga adalah antara sebilangan kecil pemain skuasy yang pernah memenangi kesemua kategori umur di Terbuka Junior British.
Kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya dengan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa itu membuatkan Nicol dikurniakan Darjah Bakti pada 7 Jun 2008 sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Kurniaan Darjah Bakti itu menjadi satu sejarah kerana dia adalah penerima pertama anugerah yang diasaskan pada 26 Jun 1975 yang hanya terhad kepada 10 penerima yang melakukan sumbangan besar dalam bidang kesenian, sains dan kemanusiaan.
Pada 12 Julai 2008, Nicol menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi ke-70 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas sekali gus menjadikan dia tokoh termuda sukan dikurniakan gelaran itu di Pulau Pinang.
Dia juga diberi penghormatan membawa obor Olimpik sebagai wakil Malaysia menjelang Sukan Olimpik Athens 2004 di samping dilantik sebagai Duta Muhibah Kebangsaan Malaysia oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di sebalik rentetan kejayaan dan pengiktirafan yang diterimanya itu, Nicol yang ditemui pada sidang media di Pusat Skuasy, Bukit Dumbar, Pulau Pinang menyatakan kekesalan berikutan impiannya untuk memastikan skuasy dipertandingkan di Olimpik masih belum terlaksana.
Selagi impian itu belum tercapai, anak kelahiran Pulau Mutiara ini akan bekerja keras memastikan acara skuasy tiba di pentas penuh berprestij itu walaupun terpaksa menunggu sehingga Olimpik 2020.
Menurut Nicol, itu semua bukan impian dirinya seorang malah semua pemain dan peminat sukan juga mahu menyaksikan skuasy dipertandingkan di gelanggang temasya berprestij itu.
“Saya sendiri tidak pernah mengira kejuaraan yang pernah saya miliki kerana bagi saya itu semua bukan ukuran kerana matlamat saya adalah untuk meletakkan skuasy di kedudukan terunggul di pentas sukan antarabangsa.
“Walaupun banyak impian terlaksana, tetapi saya tidak berasa berada di kemuncak dan perlu bekerja keras terutamanya bagi memastikan skuasy dipertandingkan di Olimpik,” katanya.
Nicol berkata, lebih banyak cabaran bakal menantinya terutama dengan kebangkitan pemain lain juga hebat dan dia mahu memastikan dirinya sentiasa dalam keadaan bersedia setiap kali turun ke gelanggang dan apa yang penting dia mahu mencatat kejayaan lebih manis pada kejohanan dunia tahun depan.
Tahun 2011 ternyata gemilang buat dirinya kerana bukan sahaja menjadi rakyat Malaysia pertama malah individu pertama di dunia memegang gelaran juara skuasy dunia buat kali keenam.
Malah Nicol adalah antara pemain yang memegang gelaran pemain nombor satu dunia paling lama iaitu selama 65 bulan sejak 2006 selepas Susan Devoy dari Australia melakukannya selama 105 bulan pada 1984 hingga 1993.
PROFIL
Nama Penuh: Nicol Ann David
Gelaran: Duracell Bunny
Asal: Pulau Pinang, Malaysia
Menetap: Amsterdam, Belanda
Lahir: 26 Ogos 1983 (28 tahun)
Tinggi: 163 cm
Berat: 50 kg
Profesional sejak: 2000
Jurulatih: Liz Irving
Ranking dunia: 1 (sejak Januari 2006)
Gelaran: 57
Final: 71
Gelaran Terbuka Dunia: 6 (2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011)
0 comments:
Post a Comment