Penyamun salah pilih mangsa


Siapa sangka pengalaman menyertai lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) beberapa tahun lalu akhirnya menjadi sangat ber­guna bagi seorang pemuda untuk menyelamatkan dirinya ketika berdepan de­ngan dua penyamun di Pekan Nenas, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Yeo Boon Kang, 23, diekori dua pemuda selepas keluar dari sebuah kedai serbaneka 24 jam dalam jarak kira-kira 100 meter.

“Saya berjalan, mereka bermotosikal. Mereka kemudian berhenti dan minta saya berikan rantai emas dan beg galas saya tetapi saya enggan,” katanya.

Seorang daripada pemuda itu kemudian mengeluarkan pistol lalu mengacu tepat ke muka Boon Kang.

Ketika itulah, penyamun berkenaan tidak sedar bahawa mereka sudah tersalah pilih mangsa.

“Awal lagi saya sudah rasa pelik. Pistol itu nampak terlalu ringan ketika dikeluarkan dari beg perompak itu. Saya juga nampak dia tarik picu beberapa kali tetapi peliknya, tak berbunyi,” kata pemuda itu lagi.

Boon Kang berkata, ketika itu, dia langsung teringat pengalamannya ketika melawat Pulapol di Melaka sewaktu masih bersekolah dahulu di mana dia pernah diberi penerangan dan memegang sendiri pistol.

“Walaupun sudah lama, saya masih ingat lagi. Itu bukan pistol sebenar. Kerana itu, saya jadi berani dan sengaja mahu lengah-lengahkan mereka. Saya pura-pura susah nak tarik keluar cincin emas yang saya pakai,” katanya.

Menurut Boon Kang, dia terpaksa lengahkan perompak itu kerana tiada orang lain yang berhampiran.

“Apabila nampak ada orang datang, saya terus tepis tangan penyamun itu dan kami bergelut. Ketika itulah, ada orang datang bantu dan akhirnya seorang daripada dua perompak itu dapat ditahan,” katanya.

Boon Kang kemudian membuat laporan di Balai Polis Pekan Nenas yang hanya kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Polis turut mengesahkan pistol yang digunakan perompak itu adalah pistol palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dua lelaki terbabit dipercayai telah menyamun dua mangsa dalam tempoh tidak sampai dua jam, dipercayai menggunakan pistol yang sama.

Kira-kira jam lima pagi semalam, mereka menyamun seorang lelaki berusia 63 tahun yang dalam perjalanan ke kedainya di Taman Emas, di sini.

“Mereka berjaya merampas wang tunai RM200 dan sebuah telefon bimbit. Namun dalam cubaan kedua untuk merompak pemuda berhampiran kedai 24 jam itu, mereka gagal sebaliknya seorang daripada mereka berjaya ditahan,” katanya.

Mengenai rakan suspek yang berjaya melarikan diri, Zahaliman berkata, polis berjaya mengenal pasti lelaki itu dan sedang memburunya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkawan.

Selain itu, katanya kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan beberapa kes pecah rumah, ragut, samun, dan curi motosikal di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Zahaliman turut menyatakan bahawa enam suspek yang terlibat dengan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Taman Utama, Pekan Nenas, pada 9 September lalu, sehingga mengakibatkan kematian seorang bapa berusia 38 tahun, telah menyerah diri kelmarin.

“Kesemua suspek berumur lingkungan awal 20-an kini ditahan reman sehingga 19 Januari (esok) dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More