HANYA menggunakan tiket gelaran ratu cantik dunia yang diperolehinya pada tahun 2000, menjadikan langkah Priyanka Chopra yang juga seorang model cukup mudah untuk menjadi salah seorang aktres terkenal Bollywood.
Tidak hanya menjual rupa paras jelitanya di layar perak tetapi juga bakat lakonannya yang mendapat pujian ramai pengkritik filem.
Lakonannya dalam filem Andaaz yang melayakkan aktres yang kini berusia 30 tahun merangkul anugerah Pelakon Wanita Baharu Terbaik pada Anugerah Filmfare pada tahun 2003.
Seiring dengan kejayaannya sebagai aktres, nama Priyanka juga tidak henti dikaitkan dengan aktor terkenal Bollywood.
Selepas putus cinta dengan aktor, Harman Baweja, Priyanka dikaitkan dengan aktor Akshay Kumar, Shahid Kapoor dan gosip yang sedang hangat diperkatakan di Bollywood kini adalah, skandal cinta antara Priyanka dan aktor terkenal, Shah Rukh Khan.
Priyanka dilihat berada di pejabat aktor itu pada pukul 3 pagi baru-baru ini. Kedua-duanya mengaku berada di pejabat itu. Bagaimanapun, menafikan yang mereka sedang bercinta sebaliknya menjelaskan mereka sedang menjalani latihan selaku pengacara majlis untuk anugerah Zee Cine yang berlangsung pada 21 Januari lalu di Macau.
Priyanka membalas segala spekulasi itu dengan memberi kenyataan di laman sosial Twitter miliknya: "Bosan! phew.. Menggelikan hati. Sebenarnya saya menjadi pengacara buat pertama kali, harap semua latihan yang dilakukan berbaloi."
Imej bersih Shah Rukh Khan sebagai lelaki berkeluarga buat pertama kalinya tercalar. Dia membalas jawapan yang sama di Twitternya dengan menulis: "Menuju ke Macau untuk anugerah Zee Cine. Menjalani latihan dengan Priyanka Chopra, penulis dan penari sebagai persediaan untuk menjadi pengacara majlis. Harap semuanya berjalan dengan lancar."
Meskipun masing-masing telah memberi kenyataan, namun, skandal cinta Shah Rukh Khan bersama Priyanka membuatkan isteri aktor itu, Gauri cemburu dan tidak senang duduk.
Kenyataan terdahulu Priyanka ini mungkin membuatkan Gauri menghembuskan nafas lega.
"Saya rasa cinta datang dengan sendirinya. Perkara berkenaan hati tidak boleh dimanipulasi. Saya sentiasa terbuka apabila bercinta, kerana saya rasa bangga apabila jatuh cinta.
"Bagaimanapun, saya tidak akan mempunyai hubungan cinta dengan lelaki yang telah berkeluarga. Saya percaya pada karma, jika saya bertanggungjawab merosakkan perkahwinan seseorang, perkara yang sama akan berlaku pada saya kemudian hari," ujarnya yang berlakon dalam filem Don dan Don 2 bersama Shah Rukh Khan.
Memiliki kecantikan, populariti dan kekayaan tidak membuatkan Priyanka mudah untuk jatuh cinta, hakikatnya hati wanitanya sukar untuk dimiliki oleh lelaki.
"Saya seorang wanita yang inginkan seseorang yang mampu membuatkan saya percaya tiada apa lagi yang penting selain diri saya di dunia ini. Lelaki itu mestilah seorang yang budiman tidak kiralah jika dia seorang pelakon, doktor atau apa sahaja pekerjaannya.
"Tetapi saya seorang yang sukar untuk jatuh cinta dan saya tidak pernah menggoda lelaki sehinggalah lelaki itu berjaya mencairkan hati saya," katanya.
Enggan berbogel
Sepanjang bergelar aktres, wanita kelahiran Jamshedpur, Jharkand, India, itu telah berlakon sebanyak 43 buah filem. Satu rekod yang cukup cemerlang buatnya, kini dia sedang menjalani penggambaran filem Krrish 3 untuk tayangan 2013.
Berbicara mengenai kerjayanya selaku seorang model dan aktres, jelas Priyanka yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera perisian atau pakar psikologi penjenayah, dia masih berpegang pada prinsip dalam hal mendedahkan tubuh di layar perak.
"Saya tidak kisah untuk bercium dalam filem tetapi saya tidak selesa untuk berbogel. Memang fakta, unsur seks melariskan filem. Saya akan lakukan adegan panas mengikut skrip tetapi masih ada hadnya.
"Melihat perjalanan kerjaya saya, memang diri saya cukup bertuah. Saya tidak akan sesekali menjual jiwa saya untuk mendapatkan watak dalam filem. Jika seorang aktres terpaksa tidur dengan seseorang untuk mendapatkan watak, ia tidak berbaloi langsung," balasnya.
Mengakui masih terdapat penerbit yang mengambil kesempatan terhadap pelakon baharu, kata Priyanka dia banyak memberi nasihat kepada pelakon baharu bagi menggelakkan perkara tidak diingini berlaku.
"Sejak dahulu lagi, saya mengamalkan prinsip, tidak akan berjumpa dengan penerbit atau pihak produksi selepas pukul 8 malam.
"Jika terpaksa juga, saya akan membawa ibu bapa saya bersama. Jika mereka tidak suka cara kerja saya, itu masalah mereka. Saya seorang yang mempunyai prinsip dalam bekerja, saya bukan wanita murahan sebaliknya seorang aktres.
"Setakat hari ini, apabila saya tiba di set penggambaran saya akan memberi fokus seratus peratus dan tiada siapa yang berani mengganggu terutama ketika waktu saya menjalani penggambaran," ulasnya kini sedang hangat dengan filem Agneepath yang mula ditayangkan di pawagam pada 26 Januari lalu.
Terbit album
Tidak hanya berlakon, Priyanka yang sudah lama mengidamkan untuk bergelar seorang penyanyi bakal melancarkan album sulungnya dijangka akan berada pada tahun ini, manakala lagu single pertamanya akan ke udara di corong radio pada musim panas ini.
Album yang memuatkan lagu dalam bahasa Inggeris sepenuhnya itu masih dalam proses pembikinan dan album tersebut dirakamkan di Los Angeles pada tahun lalu.
Sungguhpun begitu terdapat kebimbangan di hati aktres ini terhadap kerjaya baharunya itu.
"Saya menulis lirik dalam album sulung saya dan saya bimbang privasi diri saya akan hilang kerana semua lirik itu ditulis berdasarkan pengalaman saya.
"Sebahagian lagu telah siap dirakamkan. Saya berharap semuanya berjalan lancar, saya telah berusaha keras untuk album ini," katanya yang berkongsi pengurus dengan penyanyi antarabangsa terkenal, Lady Gaga.
Menjadi penyanyi tidak semudah disangka meskipun Priyanka sering menyanyi secara miming dalam setiap filem lakonan.
"Ya, saya mengambil kelas vokal. Saya bergelar seorang pelakon selama 10 tahun dan kini apabila menjadi penyanyi saya perlu bermula daripada bawah. Banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menyanyi dengan baik," luahnya.
Priyanka tidak ada sebarang perancangan untuk menyumbangkan suara di dalam filem lakonannya kerana sibuk dengan album yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa itu.
0 comments:
Post a Comment