Rozita yang ajak ke Genting - Zain

JIKA dulu Rozita Che Wan lebih bersikap terbuka dan mengaku mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi Akademi Fantasi (AF8), Shahir, dan akhirnya hubungan tersebut terputus begitu sahaja, kini pelakon Kiah Pekasam itu mengambil jalan selamat untuk tidak terlalu berkongsi mengenai kisah peribadinya. Terkini, ramai yang sudah menghidu mengenai bibit percintaan di antara Rozita bersama adik kepada Shasha Elite iaitu Zain Saidin sehinggakan Zain sanggup menemani Rozita dan anak-anaknya iaitu Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 12, ke Genting Highlands, Pahang pada hari Selasa lalu sempena musim cuti persekolahan anak-anak Rozita.
Malah, khabar yang sampai ke telinga Kosmo! mengatakan Zain sanggup mengenepikan semua urusan pada hari itu semata-mata untuk menunaikan kehendak Rozita yang ingin pelakon drama Gemersik Kalbu itu mengikutinya bersama anak-anak bercuti ke Genting Highlands.
Zain berkongsi cerita mengenai percutian bersama Rozita dan anak-anaknya Genting Highlands baru-baru ini.
Kosmo!: Dengar cerita awak bercuti bersama Rozita Che Wan ke Genting Highlands baru-baru ini?
Zain: Ya. Saya ada pergi bercuti dengan dia dan anak-anaknya ke Genting Highlands. Dia minta saya untuk temankan dia dan anak-anaknya ke sana. Dia juga minta saya memandu kenderaan miliknya, dan saya menerima pelawaan dia.
Kenapa dia minta anda menemani dan memandu ke Genting Highlands? Bercuti bersama anak-anak dia pula. Sememangnya kelihatan anda begitu istimewa di hati Rozita. Komen anda?
Saya dan dia memang berkawan rapat. Semuanya bermula selepas kami berlakon bersama dalam drama Kiah Pekasam. Saya juga rapat dengan anak-anak dia dan boleh bergurau senda dengan mereka. Tapi, hubungan kami sekadar teman rapat sahaja.
Berapa lama anda berdua bercuti ke Genting? Dan adakah destinasi percutian lain yang anda berdua pergi?
Kami pergi ke Genting sehari sahaja. Balik hari. Kami hanya pergi ke Genting sahaja dan kami tidak ada pergi ke tempat percutian lain.
Adakah anda memang menyukai wanita yang lebih berusia?
Saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Tak kira muda atau tua. Sememangnya saya senang berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk Rozita.
Kalau sudah ditakdirkan jodoh anda bersama Rozita bagaimana?
Kalau sudah jodoh saya dengan dia, secara automatik saya terima.
Beralih cerita mengenai diri anda. Apa yang sedang anda lakukan sekarang?
Saya sekarang tengah sibuk penggambaran drama 13 episod untuk RTM iaitu Bermulanya Di Sini. Dalam drama itu saya digandingkan bersama Miera Liana. Selain itu, ada juga tawaran lain tetapi masih belum ada perjanjian hitam dan putih. Drama lakonan saya Gemersik Kalbu juga kini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 pukul 7 petang setiap hari Isnin hingga Khamis.
Selain berlakon apa lagi perkara yang anda lakukan? Menyanyi atau mengacara?
Selain fokus berlakon saya juga sekarang sedang sibuk menghasilkan tiga single lagu rap yang bakal dikeluarkan tak lama lagi. Lagu rap yang dihasilkan sendiri oleh saya ini akan dikeluarkan serentak. Tiga tajuk lagu single itu adalah Transformasi, Cerita Cinta dan Niat Khalifah.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More