Silap mata dalam masjid

IKA disebut nama Khairul Azwar Ibrahim mungkin ramai yang tidak mengenalinya. Ini kerana dia lebih popular dengan panggilan Amar.
Banyak pekerjaan yang dilakukan lelaki berusia 30 tahun ini. Dia merupakan seorang penyanyi nasyid, perunding motivasi, penerbit muzik, peguam bahkan ahli silap mata.
“Boleh dikatakan kerjaya utama saya kini ialah seorang ahli silap mata. Hampir 90 peratus aktiviti saya melibatkan aksi itu.
“Mujurlah anak guam saya tidak meminta saya melakukan silap mata di depan mereka,” katanya ketika ditemui di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Berasal dari Kuala Ketil, Kedah, Amar berjinak-jinak dengan bidang silap mata pada umur lapan tahun.
“Namun, saya hanya terlibat secara serius sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Teknik
Sepanjang bergelumang dengan dunia pelik itu, Amar telah menghabiskan wang sebanyak lebih RM30,000 untuk membeli buku serta video berkaitan silap mata.
Selepas itu, dia berlatih teknik-teknik baharu silap mata daripada buku atau video berkenaan.
Apabila bercakap soal silap mata, ada segelintir orang mengatakan kebolehan ahli silap mata adalah hasil bantuan makhluk halus. Amar terkejut dengan andaian itu.
“Sebenarnya, silap mata hanya berkisar mengenai kecepatan tangan, kreativiti dan bantuan alat tertentu.
“Malah, silap mata memerlukan barangan khas seperti kad terup, anak kunci dan kotak,” kata peminat ahli silap mata terkenal Amerika Syarikat, David Copperfield ini.
Amar mengibaratkan dirinya seperti seorang pencuri yang tidak dapat dikesan. Tegasnya, tiada ahli silap mata di dunia ini yang menggunakan makhluk halus. David Copperfield sendiri, dakwa Amar, sekadar menggunakan helah dan ilusi dalam semua magis yang dilakukannya.
Amar memberitahu, jari kedua-dua tangannya pernah berkudis kerana terlalu kerap membuat latihan kad terup khas yang dinamakan kad manipulasi.
“Ia memenatkan kerana minda harus fokus sepenuhnya,” cerita Amar.
Bagaimanapun, tidak lengkap temu bual sekiranya tiada persembahan silap mata oleh Amar.
Antara aksi yang ditunjukkan Amar ialah sekeping duit syiling 50 sen yang sempurna tetapi tiba-tiba berlubang di tengahnya selepas dia melakukan beberapa gerakan tangan.
Kemudian, dia menunjukkan helah kad terup boleh terbang, kunci lurus bertukar bengkok dan straw minuman yang ditusuk menembusi dagu.
Aksi-aksi itu menyebabkan jurufoto Djohan Shahrin tergamam kerana tidak percaya dengan apa yang baru dilihat. Begitupun, Amar ada penjelasannya.
“Duit syiling yang berlubang itu saya sorokkan di belakang tangan dan dikeluarkan bagi menggantikan syiling asal.
“Persembahan ibu jari dimasukkan menembusi cuping telinga dibuat menggunakan jari palsu yang disorokkan di dalam rambut. Kad terup terbang pula ialah kad terup khas yang ringan dan mampu dilentur dengan mudah.
“Sementara anak kunci telah dipanaskan sebelum dibengkokkan menggunakan peralatan khas,” ujarnya.
Berbicara mengenai magis lain yang boleh dilakukannya seperti tangan yang mampu mengeluarkan api dan mengapungkan tubuh di udara, kata Amar, semua itu memerlukan peralatan khas.
Pikat isteri
Ujarnya lagi, aksi itu juga memerlukan tempat, masa dan keadaan yang sesuai.
“Lebih dramatik, silap mata memerlukan banyak peralatan khas” cerita Amar yang telah berkahwin dengan Siti Zawani Zaidan.
Lelaki ini mengaku dia memikat isterinya menggunakan silap mata.
“Dahulu dia junior saya semasa belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.
“Kami sering berjumpa dan makan di kafe bersama rakan-rakan lain. Pada masa itu, saya gemar membuat aksi silap mata.
“Akhirnya setelah lama berkenalan kami mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.
Adakah profesion sebagai ahli silap mata menjanjikan pendapatan yang lumayan?
Amar berkata, bayaran paling tinggi yang pernah diterimanya ialah sebanyak RM7,000 untuk sekali persembahan.
Malah, Amar mendapat kepercayaan untuk membuat persembahan silap mata di dalam masjid.
“Saya pernah membuat persembahan di masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Antaranya Masjid As-Syakirin KLCC. Sambutan yang diterima cukup baik. Sesetengahnya meminta saya membuat persembahan berulang kali,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More