“Sejak tiga hari lepas Syakir kerap nangis, saya pelik juga sebab dia bukan budak mudah nangis dan waktu bawa pergi pasar minggu dia tiba-tiba muntah.
“Pagi semalam (kelmarin) pula dia makan nasi goreng banyak sangat dan turut ambil nasi dalam pinggan abangnya, kemudian lepas makan dia terus naik ke dalam bakul motosikal abahnya sebelum abahnya sempat naik motor,” luah Zuriah Ismail, 36, mengimbas kembali keletah berlainan anak bongsunya sebelum menerima berita buruk anaknya itu maut digilis lori.
Muhammad Syakir Zufayri Mohd Asri yang manja dipanggil Syakir bakal menyambut ulang tahun kelahiran kedua pada 26 Februari depan maut serta merta di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya, Mohd Asri Nawi, 36, dirempuh lori hantu yang sedang mengundur dan tidak sedar akan kehadiran mereka dalam kejadian di Kuari Terengganu Tengah Sdn Bhd, Ibok, Kijal, kelmarin.
Zuriah yang masih lesu kerana terlalu terkejut dengan musibah itu berkata, ketika duduk di dalam bakul motosikal untuk mengikut suaminya keluar ke kawasan kuari Syakir tidak banyak bercakap dan lebih banyak berdiam diri sementara kakak dan abang Syakir, Nor Anis Farhana, 7, dan Muhammad Luqman Rafiqin, 5, tidak ikut.
“Adik jangan tinggal ibu”
Kata ibu tiga anak ini, suaminya ketika itu hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju kerana hanya mahu pergi sekejap sahaja ke kawasan kuari itu untuk me-ngambil minyak gris kerana mahu membaiki motosikal yang rosak dan dua beranak itu keluar rumah kira-kira jam 8.40 pagi.
“Syakir memang suka mengikut jika abahnya nak ke mana-mana. Saya menerima berita malang kejadian ini selepas dikejutkan dari tidur oleh abang ipar yang datang memberitahu kerana semalam saya demam, namun waktu sampai tempat kejadian orang ramai tak bagi saya lihat dari dekat keadaan anak yang masih berada di bawah tayar belakang lori dan suruh saya balik,” luahnya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumah ibunya di Batu 9, Ibok, semalam.
Sejak Syakir baru dilahirkan, Zuriah juga mengakui naluri keibuannya terdetik bahawa anaknya tidak panjang umur tambahan lagi Syakir juga kerap tidak sihat kerana menghidap asma menyebabkannya memiliki fizikal yang kecil dan berat badannya tidak sampai sembilan kilogram.
“Dan saya pernah cakap padanya…adik jangan tinggal ibu…,” kata Zuriah dengan air mata laju mengalir.
Katanya, kehilangan Syakir amat dirasai dan kesedihan tidak dapat diluahkan dengan kata-kata tambahan lagi anaknya itu masih menyusu badan.
Menurutnya, apa yang paling tidak dapat dilupakan karakter anaknya yang agak istimewa iaitu gemar bermain dengan ayam dan kucing berbanding bermain dengan alat permainan serta pandai bercakap dalam loghat Besut seperti memanggil aye (ayam) dan ike (ikan) meskipun suaminya sendiri yang berasal dari Besut loghatnya tidak sepekat itu.
Lihat anak digilis tayar lori
Tragedi menyayat hati itu berlaku tanpa diduga sehingga Mohd Asri yang melihat sendiri Syakir digilis lori dan darah memercik meraung kesedihan sambil cuba mahu mengalihkan anaknya itu yang berada di bawah tayar lori hantu penuh dengan muatan batu kuari.
Bagaimanapun, cubaan Mohd Asri untuk mengalihkan anaknya yang telah kaku untuk dihantar ke hospital dihalang penduduk yang datang memenuhi kawasan kejadian kerana keadaan bayinya itu yang tersepit bersama motosikal di bawah tayar lori itu.
Zuriah berkata, sebelum musibah itu terjadi sebenarnya suaminya sudah mahu pulang ke rumah kerana sudah mengambil minyak tetapi bapa saudaranya, Mohamad Daud, 36, yang bekerja di kuari itu datang ke arah suaminya yang ketika itu berada di atas motosikal kerana mahu bermain dengan Syakir.
Namun, walau Mohamad puas mencuit, Syakir hanya mendiamkan diri sebelum Mohamad dan Mohd Asri terkejut melihat lori mengundur laju ke arah mereka.
“Ketika itu motosikal Honda EX5 yang dinaiki suami saya enjinnya masih hidup tapi walau pedal minyak telah ditekan motosikal tidak bergerak dan dalam keadaan panik itu, suami sempat mencapai tangan Syakir sambil melompat dari motor tapi kata suami yang cerita kejadian itu kepada saya, tangan Syakir licin seperti minyak,” katanya
Bila berpaling lihat anak, Mohd Asri yang sudah jatuh ke depan sedikit hanya mampu melihat percikan darah anaknya.
Akibat musibah itu, kepala bayi malang itu pecah selain patah kaki manakala motosikal yang terpelosok pula terputus dua.
Jenazah Syakir dikebumikan jam 2 petang kelmarin bersebelahan pusara neneknya di Tanah Perkuburan Batu 9.
Otak bertaburan
“Ya Allah Ya Tuhanku apalah salah budak sebesar ini,” itu yang terdetik di hati Safiah Mamat, 71, ketika tersentak melihat Syakir yang juga merupakan cicit saudaranya terpelosok bawah tayar lori.
Ketika tiba di tempat kejadian polis masih lagi belum sampai dan hatinya luluh apabila melihat keadaan otak yang bertaburan sebelum orang ramai kemudian kutip otak dan letakkan dalam plastik.
Sementara itu, kakak Syakir, Nor Anis yang sudah mengerti apa yang berlaku ketika ditanya ke mana adik bongsunya berkata, “Adik tak dok, adik mati”.
Sinar
0 comments:
Post a Comment