Penjara nafi pukul 200 banduan


Jabatan Penjara menafikan dakwaan warga kerja Penjara Sungai Buloh menggunakan kekerasan berlebihan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas 200 banduan Blok Berkat dalam satu kejadian 4 Januari lalu.

Ketua Seksyen Dasar Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim berkata hanya empat banduan dan dua petugas mengalami cedera ringan dalam bentuk calar dan telah diberi rawatan di klinik penjara itu.

"Begitu juga tiada kejadian memukul berlaku selepas banduan berkenaan  telah dapat dikawal dan dimasukkan ke bilik masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita pada Rabu lepas yang mendakwa  kekerasan berlebihan diguna bagi mengawal banduan terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan pemeriksaan ke atas diri dan sel mereka.

Supri berkata ketegangan itu berlaku dalam tempoh kira-kira 10 minit dan telah dapat dikawal oleh 10 anggota yang bertugas.

Sementara itu, Lembaga Siasatan Jabatan Penjara telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut, dan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Batu Arang pada 5 Januari bagi mengelakkan sebarang bentuk keraguan.

"Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang bertindak melakukan kekerasan di luar dari batasan peraturan yang ada," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More