Anwar tetap mahu debat dengan Najib

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan idea berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana disarankan oleh Merdeka Center berdasarkan penemuannya baru-baru ini.
Sehubungan itu kata Anwar, debat yang disyorkan wajar bagi menjawab persoalan-persoalan  yang ditimbulkan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
“Masing-masing buat tuduhan, kita tuduh Barisan Nasional rasuah dan gagal tadbir negara, BN tuduh kita tidak tahu urus ekonomi, tuduh Anwar jadi alat DAP, masing-masing ada pendekatan dan kita cadang debat.

“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini, semalam.

Hadir sama dalam siri ceramah itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari; Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Pas Sabak Bernam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online awal minggu ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.
"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.
Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Dalam reaksinya semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, debat antara Najib dan Anwar tidak perlu diadakan kerana tidak mengubah pendirian masing-masing.
Sementara itu, PKR mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar kerana pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.
Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar juga mengulangi janji yang dibuat sekiranya dapat menawan Putrajaya.
"Hari ini kita tawan Putrajaya, esok harga minyak turun. Dua minggu selepas kita tawan Putrajaya, kita akan minta cara untuk turunkan kadar elektrik,” katanya.
“Rakyat mampu membuat pilihan, BN pernah perintah Selangor, PR masuk empat tahun perintah Selangor dan rakyat perlu diberikan peluang untuk membuat pilihan," kata Anwar lagi.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR memberitahu, derita rakyat perlu diatasi begitu juga dengan rasuah dan penindasan.
"Sebab itulah kita kata rakyat ada pilihan. Rakyat mesti bangkit tentukan masa depan mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More