KISAH cinta antara dua orang aktor dan aktres ini bukanlah kisah baharu. Walaupun si jejaka Farid Kamil dan si jelita Diana Danielle pernah kecundang dalam perhubungan mereka tidak lama dulu, namun beberapa bulan selepas itu mereka kembali menyulam cinta.
Setelah beberapa lama kembali bersama, wujud pula spekulasi Farid dan Diana bakal menamatkan zaman solo masing-masing dan mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 ini. Ada yang berkata, Diana sudah pun bersedia untuk mendirikan rumahtangga bersama kekasihnya itu. Bagaimanapun hal itu kemudian dinafikan Diana. Bagi mendapat kepastian, Kosmo! sempat menemu ramah Farid bertanya tentang perancangan masa depannya dengan Diana.
Kosmo!: Apa perkembangan terbaharu Farid?
FARID: Untuk awal tahun 2012 ini, saya banyak terikat dengan dunia lakonan. Insya-Allah selepas bulan Jun nanti, barulah saya akan duduk di kerusi pengarah untuk filem Gerilla. Ia adalah gabungan dua pengarah iaitu saya dan Ismail Bob Hashim. Saya akan bertindak sebagai pengarah aksi untuk filem itu dan kini sedang menunggu keputusan untuk mendapat 100 peratus kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia.
Adakah ini gabungan pengarahan pertama yang dibuat Farid dan mengapa terima tawaran ini?
Ini merupakan salah satu projek mega Metrowealth di mana kebetulan pula saya baru sahaja tamat pengajian di Australia Stunt Academy selama sebulan. Dan saya rasa ini adalah permulaan baik untuk saya bekerjasama dan mempraktikkan apa yang telah saya pelajari semasa di sana sebagai pengarah aksi untuk filem mega ini. Saya juga anggap ia sebagai kos intensif untuk mempelajari segala macam jenis lagak ngeri secara teori dan praktikal.
Mengapa belajar lagak ngeri?
Tujuan saya ke sana bukanlah untuk menjadi pelagak ngeri. Tapi kerana saya minat genre aksi, jadi saya rasa ia lebih bersesuaian dengan pengarahan genre yang saya lakukan dan juga saya merupakan pelakon aksi dan sedikit sebanyak benda ini boleh membantu saya dari segi lakonan aksi, tapi bukan sebagai pelagak ngeri.
Perancangan masa hadapan terutama tentang isu kahwin yang tiba-tiba timbul. Betul ke anda berdua sudah merancang untuk berkahwin pada tahun ini?
Secara jujur, memang belum lagi ada perancangan ke arah itu (berkahwin). Saya pun tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Tapi yang pasti memang setakat ini tiada perancangan apa-apa yang berkaitan perkahwinan. Mungkin disebabkan populariti Lisa Surihani dan Yusry KRU, jadi secara tidak langsung ia terpalit kepada kami dan kemudian disensasikan pula.
Namun, Diana kata dia sudah bersedia?
Saya lagi bersedia (ketawa). Tidak, saya belum sampai seru lagi. Jika hati ini belum ditiup dan menjadi kukuh untuk melakukan sesuatu ke arah kebaikan atau melangkah ke fasa baharu itu, saya rasa memang belum lagi sampai seru.
Mungkin ada sasaran bila mahu tamatkan zaman solo?
Saya tidak berani cakap kerana memang saya tiada target untuk perkara ini. Nanti bila saya bercakap sedikit perkara ini akan berlarutan. Jadi, memang saya tunggu seru sahaja.
0 comments:
Post a Comment