Seorang ahli nujum terkenal Mexico, Antonio Vazquez meramalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan tewas pada pilihan raya Presiden 2012 dan dua lagi pemimpin negara rantau Amerika Latin akan menghidap kanser, menurut ramalan tradisi sempena Tahun Baru kelmarin .
Dikenali dengan gelaran Brujo Mayor, Vazquez membuat ramalan tersebut pada satu upacara sihir di bandar Catemaco, timur laut Mexico.
Dia berkata, Presiden Venezuela, Hugo Chavez yang mendakwa telah sembuh daripada kanser yang dihidapinya akan kembali menghidap penyakit berkenaan dengan kali ini, keadaannya akan menjadi lebih teruk.
Selain Chavez, Presiden Argentina Cristina Kirchner, Presiden Brazil Dilma Rousseff, bekas pemimpin Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Fernando Lugo dari Paraguay Fernando turut disahkan menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu.
Pada bulan lalu, Chavez menyatakan bahawa wabak kanser dalam kalangan pemimpin berhaluan kiri Amerika Latin berpunca daripada komplot jahat AS.
Berjanggut putih panjang, Vazquez bagaimanapun mendakwa penyakit yang dihidapi para pemimpin berkenaan berasal daripada sihir yang ditujukan terhadap mereka.
Vazquez turut meramal parti politik tempatan, Parti Institusi Revolusi (PRI) yang memerintah Mexico sejak lebih 70 tahun dahulu hingga tahun 2000 akan kembali berkuasa dengan calonnya, Enrique Pena Nieto akan memenangi pilihan raya Presiden pada Julai depan.
Dia membuat semua ramalan itu berdasarkan tilikan kad tarot dan pemerhatian bintang-bintang.
Mendakwa tilikannya adalah 80 peratus tepat, Vazquez pada tahun lalu pernah meramalkan nilai mata wang euro akan lemah dengan negara-negara membangun kembali dihimpit kemelesetan ekonomi.
Beliau bagaimanapun tersilap apabila menilik bahawa seorang pemimpin Amerika Latin akan dibunuh pada tahun lalu.
Sementara itu, bekas Gabenor Negeri Massachusetts, Mitt Romney dan Rick Santorum mendahului lima ahli politik Parti Republikan pada penggundian awal di negeri Iowa bagi memilih calon Republikan pada pilihan raya Presiden 2012 bagi menentang Obama daripada Parti Demokrat.
Selain Romney, ahli-ahli politik Republikan yang bertanding dalam pemilihan tersebut ialah Ron Paul, Newt Gingrich Jon Huntsman, Rick Perry dan seorang ahli politik wanita, Michele Bachmann
0 comments:
Post a Comment