AKHIRNYA, badi dan mimpi buruk jaguh perseorangan negara apabila bertemu Lin Dan lenyap di gelanggang Korea.
Semalam, takhta juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea kembali ke genggaman pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei setelah mengalahkan seteru utamanya, Lin Dan.
Dengan keputusan 12-21, 21-18, 21-14, Chong Wei dipaksa bekerja keras sebelum menumpaskan jaguh dari China itu pada final acara perseorangan lelaki.
Kejayaan pemain berusia 29 tahun di Gimnasium Olimpik Seoul, Korea itu menyaksikan dia membawa pulang ganjaran bernilai AS$75,000 (RM235,875).
Lin Dan yang menang selesa 12-21 di set pertama tidak kekal lama apabila Chong Wei menemui rentak untuk 'mendiamkan' jagoan dari China itu dengan mengheretnya ke perlawanan ke set penentuan yang mengambil masa satu jam 16 minit.
Nyata, reaksi positif yang ditunjukkan dan semangat untuk membalas dendam yang membara, memberi impak ke atas kejayaannya untuk menumbangkan Lin Dan.
Sejak awal lagi, bahang pertembungan antara dua musuh tradisi ini amat terasa dalam keduanya mencari kemenangan dengan menjelangnya Sukan Olimpik Julai nanti.
Justeru, dengan gelaran juara pada awal tahun 2012, ia dilihat bukan saja membangkitkan semangat juara dunia itu dalam pemburuan pingat emasnya di Sukan Olimpik 2012 malah sebagai peringatan kepada jaguh-jaguh China lain termasuk Chen Long.
Malah, rekod perlawanan yang konsisten memperlihatkan Chong Wei masih mempunyai sentuhan berbisa untuk membenam pemain-pemain dari China yang selama ini sering menjadi halangan kepadanya.
Ini termasuklah skrip ulangan yang ditempuhi Chong Wei tahun lalu apabila terpaksa bertarung hebat untuk menewaskan bintang dari China, Du Pengyu dalam aksi separuh akhir kelmarin.
Sementara itu, Lin Dan, juara dunia empat kali yang menewaskan Chong Wei dalam empat daripada lima pertemuan sepanjang 2011, terlebih dahulu menunjukkan jalan keluar kepada pemain Jepun, Sho Sasaki dalam perlawanan separuh akhir kelmarin.
Dalam pada itu, bagi kategori beregu lelaki pula, pemain tuan rumah, Jae Sung Jung-Yong Dae Lee tumpas kepada pemain China, Chai Yun dan Fu Haifeng dengan keputusan 18-21 21-17 21-19.
Bagi perseorangan wanita, peserta China, Wang Shixiang mudah menumpaskan rakan senegara, Jiang Yanjioa 21-12 21-17.
Peserta China terus gah apabila meraih kejuaraan dalam kategori beregu wanita dengan kejayaan Tian Qing-ZhaoYunlei 21-18 21-13 ke atas Jung Eun Ha-Ming Jung Kim dari Korea.
0 comments:
Post a Comment