Safwan dakwa dikasari polis


Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang yang cedera ketika perhimpunan pro-kebebasan akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim, Perak baru-baru ini, membuat laporan polis semalam mendakwa dirinya tercedera sehingga tidak sedarkan diri akibat dikasari polis.

Terdahulu, Muhammad Safwan ditemani beberapa peguam dan isterinya, Masturah Abu Bakar hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kira-kira jam 2.15 petang untuk membuat laporan itu, sebelum keluar hampir tiga jam kemudian.

Muhammad Safwan ketika ditemui semalam, menafikan kecederaannya berpunca dari sendiri, sebalik­nya menegaskan dia dikasari secara ganas oleh anggota polis ketika melakukan perhimpunan aman.

Menurutnya, dia mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya yang menunjukkan polis menyerbu ke arahnya dan rakan-rakan sebelum bahagian kiri mukanya ditumbuk.

“Saya ada rakaman jelas me­nunjukkan pergelutan berlaku, di mana saya ditumbuk sehingga bibir pecah dan berdarah. Kemudiannya pada masa sama dihentak dengan lutut di bahagian rusuk kanan oleh anggota polis sehingga sesak nafas dan tidak sedarkan diri.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya bahawa polis tidak melakukan kekerasan. Video yang dimuat naik polis hanyalah sebahagian rakaman yang berlaku sebelum pergelutan tersebut dan kita kecam polis kerana tidak memuat naik rakaman video yang menunjukkan gambaran sebenar insiden yang berlaku,” katanya semalam.

Menurutnya, tindakan polis (mengasari) adalah satu kesalahan jenayah terhadap orang awam dan boleh disabitkan salah di bawah Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguamnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, laporan berhubung insiden yang menimpa Muhammad Safwan sudah dibuat dan mereka bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dengan polis termasuk memberi bukti rakaman video yang menunjukkan polis mengasari anak guamnya.

Beliau berkata, polis juga perlu menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul untuk meleraikan sesuatu perhimpunan iaitu hadir untuk mengawal bukan menimbulkan provokasi.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More