Lepas gian belakang reban

Hiasan Semata
Cubaan seorang daripada tiga lelaki berusia antara 40 hingga 50-an untuk melarikan diri ketika asyik melepas gian di belakang reban ayam gagal apabila dia berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Operasi berkenaan yang dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, diketuai Inspektor Sobri Zakaria bersama tujuh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah selepas dua minggu intipan di­jalankan.

Dalam operasi itu, polis menemui 12 paket plastik lutsinar berisi heroin dan satu paket syabu dalam genggaman seorang daripada suspek yang sedang khayal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, operasi yang dijalankan di belakang reban ayam milik seorang daripada suspek bagaimanapun tidak disedari dua daripada mereka.

“Ketika tangkapan dibuat, dua suspek yang ditemui sedang khayal dan tidak melawan.

“Seorang daripadanya yang separuh sedar cuba meloloskan diri, namun berjaya ditangkap berhampiran lokasi serbuan.

“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah,” katanya.

Sementara itu, Umar berkata, jumlah keseluruhan dadah jenis heroin dan syabu itu dianggarkan bernilai RM3,000.

“Pihak polis tidak menafikan lokasi serbuan yang berdekatan jalan besar berkenaan sememangnya merupakan port penagih untuk melepas gian.

“Polis juga percaya masih terdapat penagih lain yang menjadikan lokasi ini sebagai port melepas gian.

“Oleh itu, pemantauan dari masa ke semasa akan dilakukan bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A2 Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More