Kalau sudah dinamakan tahi judi


Kalau sudah dinamakan tahi judi, dimana sahaja boleh bertaruh termasuk dalam hutan.
 
Itulah yang dilakukan sekumpulan kaki judi yang menjadikan hutan di Mount Erskine, Pulau Tikus, dekat sini sebagai mini kasino.
 
Dengan menggunakan khemah yang dibina tiga hari lalu, 25 lelaki ditahan polis ketika sedang leka membuat pertaruhkan membabitkan puluhan ribu ringgit.
 
Kesemua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan dalam Ops Dadu oleh sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) pada jam 10.30 malam semalam.
 
Tinjauan mendapati mini kasino itu turut dilengkapi khemah yang dipasang kipas siling, dapur yang menyediakan minuman serta tandas untuk kemudahan kaki judi itu.

Selain itu, mereka dikesan menggunakan khidmat tonto untuk mengawal dan memberi maklumat jika terdapat sebarang perkara atau individu yang mencurigakan.
 
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, ketika serbuan, hanya tiga daripada mereka sempat melarikan diri di dalam hutan sebelum berjaya dicekup semula beberapa minit kemudian.
 
“Sebelum serbuan dijalankan, polis terpaksa bertindak mengepung kawasan puncak bukit berkenaan sejak jam 3 petang lagi setelah dihalang lebih tujuh tonto di setiap persimpangan jalan.
 
"Kita berjaya melumpuhkan satu kegiatan perjudian haram melibatkan nilai pertaruhan berjumlah RM100,000 hingga RM150,000," katanya kepada media semalam.
 
Menurutnya, dalam serbuan ini, polis merampas wang di atas meja berjumlah RM250 bersama wang di badan berjumlah RM27,670 selain peralatan judi jenis dadu dan york.
 
Polis juga sedang meneruskan siasatan sama ada lokasi itu adalah tanah sewa atau haram termasuk punca bekalan elektrik dan air yang digunakan.
 
Beliau berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat awam serta risikan sehingga berjaya menyerbu khemah yang dibina dengan kain kanvas dan terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama menuju ke Batu Feringghi.
 
“Siasatan juga mendapati setiap pemain akan meletakkan maksimum RM10 hingga RM1,000 bagi setiap pertaruhan selama 45 minit.
 
"Kesemua mereka kini ditahan di IPDTL untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More