Bekas penyampai radio Era FM, Reza Mohamed mengakui keputusannya meninggalkan stesen radio itu Disember lalu kerana mahu berehat selain tidak menolak mempunyai sedikit masalah apabila ada pihak tertentu yang kurang senang dengannya.
Reza berkata, semua orang menghadapi masalah di tempat kerja tetapi dia enggan mengulas perkara tersebut mengapakah keputusan itu dibuat.
"Di mana saja kita berada, tipulah kalau tiada masalah dengan tempat kita bekerja. Paling tidak pun orang lain yang sengaja mencari masalah dengan kita. Apa-apa pun, biarlah itu menjadi rahsia saya.
"Keputusan meninggalkan Era FM dibuat kerana saya mahu berehat seketika. Lagipun sekarang ini saya sibuk menguruskan Patung Studio, iaitu sebuah studio tarian yang ditubuhkan di bawah syarikat saya sendiri, Rezakey Management.
“Pada masa yang sama saya turut memenuhi undangan menjadi pengacara majlis,"
Ditanya adakah dia akan berpindah ke stesen radio lain, Reza enggan mengulasnya tetapi menjelaskan jangka masa rehatnya selepas menamatkan perkhidmatan di Era tidaklah terlalu lama.
Dalam pada itu Reza mengakui sepanjang lima tahun bekerja di Era, banyak kenangan dan pengalaman yang dipelajarinya.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang pernah bekerjasama dengan saya di AMP Radio Networks. Siapa tak sayang ERA? Berat juga hati nak tinggalkan stesen yang telah menjadi penyumbang besar kepada karier saya.
"Ramai juga yang tak tahu tentang pemergian saya ini. Para peminat sangka saya masih bekerja dan sedang bercuti. Ada yang rindu, sedih dan tentunya ada juga yang sedang tersenyum sambil bertepuk tangan," ujarnya sinis.
Bagaimanapun, Reza yang juga merupakan pengacara Kelab Pop itu percaya, ketiadaannya di Era tidak bermakna dia juga akan kehilangan para peminat, malah dia tidak menyesal dengan keputusan yang dilakukannya itu.
"Selain itu saya juga ingin perbaiki bakat yang ada untuk menjadi seorang penghibur yang bagus. Cuma saya ingin mengucapkan terima kasih kepada 'guru-guru' yang telah banyak mengajar saya iaitu Nila Kurnia, Zainal Alam Kadir, Aznil Nawawi, Nana Mahazan dan ramai lagi," katanya.
Sementara itu, Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran telah mengesahkan Reza meletakkan jawatannya sebagai seorang penyampai radio stesen berkenaan.
Peletakan jawatan itu juga tiada isu berkaitan masalah dalaman mahupun disiplin.
"Pihak kami menghormati keputusan Reza dan setakat ini kami tiada sebarang masalah dengannya. Malah, pihak kami telah memilih Zahid (AF) sebagai penggantinya selepas membuat beberapa uji bakat pada Disember lalu.
"Andai kata dia ingin kembali kepada Era, pihak kami mengalu-alukan kedatangannya," kata Nazri.
0 comments:
Post a Comment